Thursday 4 February 2016

TPPA Langkah Tepat Ke Arah Negara Maju 2020


Oleh: Muhammad Al Fatihe B Mohd Ali Hanafiah

Penyertaan Malaysia ke dalam Trans Pasific Partnership Agreement (TPPA) yang disertai oleh 12 buah negara adalah langkah yang tepat. Ekonomi dunia begitu mencabar yang menuntut sesebuah negara mementingkan kecekapan dan jaringan kerjasama dalam ekonomi. Transformasi ekonomi perlu dilakukan dengan memperbanyakkan kerjasama ekonomi yang berbentuk multinational.

Datuk Seri Mustapha Mohamed berkata “Malaysia harus berusaha mempelbagaikan lagi hubungan perdagangan dengan negara-negara lain kerana pergantungan kepada satu atau dua negara akan membawa risiko yang tinggi”(The Rakyat Post Ruangan Bisnes, 13 November 2015)

Kerajaan kini berusaha mencari resolusi terbaik bagi memantapkan ekonomi negara. Jika tersilap langkah ianya boleh menjurus kearah krisis. Disebabkan itu, isu penyertaan Malaysia kedalam TPPA ini menjadi panas kerana ianya dibayangi oleh pelbagai spekulasi yang menyatakan bahawa dengan penyertaan ini akan ada kerugian. Disebabkan spekulasi negatif inilah menyebabkan kebaikan TPPA ini dipandang sepi.

Penyertaan kedalam TPPA akan memberikan impak yang positif kepada negara. Perjanjian ini mampu memperoleh pelbagai faedah, pertama mampu meningkatkan eksport dan peluang pekerjaan terutama sektor swasta. Kedua akses pasaran semakin meluas kerana jumlah penduduk dari 12 buah negara adalah seramai 793 juta orang penduduk.

Seterusnya yang ketiga, mampu meningkatkan taraf hidup pekerja dengan penyelarasan standard undang-undang buruh seperti ketetapan gaji minimum dan penjagaan alam sekitar. Keempat, 2000 sehingga 4000 tarif akan dimansuhkan terutama industri yang berkaitan dengan elektronik, produk kayu, tekstil dan minyak sawit. Dan kelima, menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna yang menginginkan input yang lebih murah bagi kegunaan industri.

Tambahan pula, jumlah dagangan antara 12 buah negara ini adalah merangkumi  40% jumlah keluaran KDNK dunia yang bernilai AS$107.5 trilion bersamaan RM 470 trilion. Dengan jumlah dagangan yang besar dan faedah-faedah yang terdapat dalam TPPA ianya cukup menguntungkan Malaysia.

Langkah ini selari dengan keinginan Malaysia untuk menjadi negara maju pada 2020 iaitu mewujudkan negara berpendapatan tinggi dan masyarakat yang sejahtera.

Perjanjian ini disokong oleh Pengarah Serantau bagi Asia Tenggara The World Bank Group, Dr Ulrich Zachau, yang menyatakan bahawa “Pelaksanaan perjanjian perdagangan itu akan membawa masuk lebih banyak pelaburan, perdagangan dan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik dari segi kualiti”.(B.Harian Ruangan Bisnes, 4 Disember 2015)

Besar keuntungan yang akan dimiliki Malaysia kerana negara kita adalah antara pengeluar utama dunia bagi  industri Minyak Petroleum, Minyak Kelapa Sawit dan Industri Getah. Sekiranya Malaysia tidak menyertai TPPA maka negara ini akan ketinggalan kepada negara-negara jiran seperti Vietnam dan Singapura. Malaysia akan hilang kreadibiliti sebagai negara pasaran bebas.

Kerana pelabur asing akan lebih memilih negara-negara yang lebih kompetitif untuk membuat pelaburan. Malaysia juga akan kehilangan pasaran kerana pasaran Malaysia akan lebih gemar berdagang dengan negara yang mempunyai TPPA. Itulah keburukan jika negara tidak menyertai TPPA.  

Pada hemat penulis, rakyat tidak perlu bimbang kerana pemimpin negara sudah memikirkannya resolusi terbaik sebelum mengambil sebarang keputusan seperti yang diakui sendiri oleh Datuk Seri Mustapha Mohamed Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata.“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab bagi rundingan TPPA, menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan perlembagaan, kedaulatan dan dasar teras negara kita termasuk kepentingan masyarakat Bumiputera dilindungi dan dipertahankan”. (B.Harian Ruangan Bisnes, 29 Julai 2015)

Sekarang ini, bergantung kepada rakyat Malaysia untuk lebih bersaing dan berani membuat pelaburan diluar negara kerana sesunggguhnya begitu banyak peluang ekonomi yang akan diperoleh daripada pasaran yang semakin meluas terutama bagi negara yang tiada Free Trade Area (FTA) dengan Malaysia seperti Amerika, Kanada, Mexico dan Peru.

Sudah tiba masanya syarikat tempatan keluar daripada zon selesa untuk meningkatkan produktiviti dan mula bersaing secara sihat. Kerana sumber yang produktif kita sebenarnya cukup berpotensi untuk dipasarkan. Dengan harapan semakin banyak syarikat tempatan melabur diluar negara bukan sahaja Petronas, Sime Darby dan Felda malah perlu juga produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk dipasarkan.


Sesungguhnya ekonomi dunia mempunyai pasang surut, namun yakinlah melalui penyertaan kedalam TPPA ini ianya amat membantu pertumbuhan ekonomi Malaysia yang ingin menjadi negara maju pada tahun 2020.