Monday 2 May 2016

Pengajaran Kejatuhan Minyak Dunia






Kejatuhan mendadak harga minyak dunia masa kini,perlu dijadikan iktibar buat Malaysia. Kejatuhannya dikatakan paling teruk sejak 12 tahun ini menyaksikan nilai yang didagangkan sekitar bawah $50 setong. Ini menyebabkan kerajaan kekurangan dana bagi meneruskan agenda pembangunan negara sehinggakan kerajaan terpaksa menyemak semula belanjawan negara. Memandangkan pendapatan negara bergantung kepada industri yang berasaskan Minyak dan Gas apabila harga komoditi ini jatuh menjunam maka Malaysia kekurangan pendapatan utamanya. Namun bukan sahaja Malaysia yang menerima impak malah negara-negara OPEC seperti Arab Saudi dan Qatar turut menerima impak negatif kerana mereka adalah antara negara pengeksport terbesar minyak dunia.

Punca-punca kejatuhan harga komoditi emas hitam ini secara umumnya terdapat 3 faktor, pertama lambakan minyak diseluruh dunia. Lambakan ini terjadi berikutan penawaran yang tinggi dan permintaan yang lemah. Hal ini terjadi apabila negara-negara pengeluar minyak (OPEC) tidak mahu menghentikan pengeluaran minyaknya malah terus menambah pengeluarannya sebanyak 1 Juta tong sehari sehinggakan berlaku lebihan stok minyak dipasaran.



Kedua, AS dan Barat telah meluluskan usul untuk menarik balik sekatan embargo ke atas Iran yang telah menghentikan projek Uranium mereka sekaligus membolehkan Iran yang juga ahli dalam OPEC mengeksport semula minyak dan didagangkan kepasaran antarabangsa sekaligus menambahkan lagi lebihan pengeluaran minyak dunia. Ketiga, permintaan minyak juga menurun diseluruh dunia terutama disebabkan kelembapan ekonomi negara pengguna minyak kedua terbesar didunia iaitu China yang menyebabkan mereka mengurangkan permintaannya terutama permintaan eksport dari Malaysia.

Sudah menjadi hukum dalam ekonomi apabila penawaran melebihi permintaan secara tidak langsung harganya akan terus jatuh sekiranya ketiga-tiga senario ini terus berlaku. Sama sepertinya dengan minyak dunia apabila lebihan penawaran berlaku maka harganya turut jatuh menjunam.

Namun begitu, setelah diteliti kejatuhan harga minyak ini sebenarnya adalah sebagai isyarat dan mesej kepada Malaysia agar kita tidak lagi bergantung kepada sumber pendapatan berasaskan industri Minyak dan Gas. Komoditi ini begitu terdedah kepada spekulasi harga pasaran yang turun naik dengan cepat. Tambahan pula sektor ini adalah sektor yang terhad dan tidak boleh diperbaharui. Sebaliknya, Malaysia perlu mempelbagaikan lagi sumber ekonominya seperti industri yang berasaskan industry produk hiliran, perkhidmatan, pelancongan, pertanian, industri halal dan IKS. Memandangkan kita memiliki iklim politik yang stabil sejak kemerdekaan maka kita menjadi negara yang menarik untuk para pelabur untuk melabur dalam bidang-bidang tersebut.

Sebagai contoh dalam bidang pertanian, menurut Duta Besar Malaysia ke China Datuk Zainuddin Yahya berkata jumlah dagangan antara Malaysia-China dalam sektor bahan  makanan adalah bernilai AS$1.2 billion namun Malaysia hanya mengeksport AS$ 350 juta bahan makanan ke China. Ini tidak baik dalam ekonomi apabila import melebihi eksport sedangkan kita adalah negara beriklim Khatulistiwa yang subur dengan pelbagai tanaman. Tambahan pula, apabila pada November tahun lepas Perdana Menteri China Li Keqiang bersetuju untuk membeli dengan lebih banyak buah-buahan tropika dari Malaysia maka wajar Malaysia beralih tumpuan daripada Industri Minyak kepada Pertanian pula. (Utusan Malaysia, Isnin, 18 Januari 2016.

Selain itu, penekanan kepada produk hiliran yang berasaskan pertanian terutama makanan perlu ditingkatkan kerana ianya mempunyai nilai tambah yang tinggi serta pulangan berganda. Sebagai contoh produk yang berasaskan pertanian seperti Kelapa Sawit yang diurus oleh Felda Global Ventures Holdings (FGV) komited untuk memperluaskan produk hiliran. Menurut Pengerusi Kumpulan Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selama ini purata keuntungan Felda bergantung kepada hasil kelapa sawit dan getah namun syarikat ini perlu memberi fokus perniagaan baru kepada industri hiliran.(Utusan Malaysia, Jumaat, 22 Januari 2016)

Selain itu, berikutan permintaan eksport Malaysia yang menurun di China maka Malaysia perlu meluaskan lagi rakan dagang dengan pelbagai negara selain daripada China. Penyertaan Malaysia dalam Trans Pasific Partnership Agreement (TPPA) dan Asean Economic Community (AEC) adalah langkah yang tepat kerana ianya merupakan sebuah kerjasama ekonomi yang berbentuk Multilateral bukan Bilateral seperti Free Trade Area (FTA).

Kerjasama berbentuk Multilateral ini penting bagi mengelakkan kebergantungan pasaran sesebuah negara kepada negara yang lain. Sebagai contoh apabila berlaku kelembapan ekonomi China maka ianya memberi kesan tidak langsung kepada Malaysia kerana China adalah antara rakan dagang terbesar Malaysia. Jika wujud kerjasama berbentuk Multilateral ini maka sebarang risiko krisis ekonomi mampu dielak. Contoh lain seperti pada tahun 2008 apabila berlaku krisis Subprima di Amerika Syarikat ianya turut mengheret beberapa negara Eropah kekancah krisis kerana wujudnya pergantungan Eropah dengan Amerika kesannya dapat disaksikan adalah Greece Muflis pada tahun 2010 dan negara-negara sekitarnya seperti Perancis, Portugal dan Sepanyol mengalami defisit yang besar.


Sudah tiba masanya Malaysia mencari sumber alternatif bagi menggantikan industri Minyak dan Gas. Kerana negara-negara yang tidak mempunyai sumber Minyak dan Gas pun boleh turut maju apabila mereka memperkasakan sumber – sumber yang lain melalui  kecekapan pengurusan ekonomi negara. Seperti Singapura, Jepun, Belanda dan Korea yang mana tidak mempunyai sumber Minyak dan Gas tetapi mereka mengoptimumkan sumber daripada perdagangan, perkilangan dan perkhidmatan kewangan sehinggakan mereka mampu menjadi negara maju. Justeru, Malaysia perlu mengambil pengajaran ekoran daripada kejatuhan harga Minyak Dunia ini.











No comments:

Post a Comment