Friday 13 November 2015

Harakiri Moden

Harakiri atau Seppuku ini membawa maksud membunuh diri secara terhormat yang dilakukan oleh para Samurai tatkala apabila mereka kalah dalam pertempuran atau kegagalan menjalankan sesebuah kewajipan. Bagi mereka tiada guna lagi hidup apabila hilang sebuah kehormatan dalam diri. Budaya ini cukup popular pada zaman Edo sehingga Meiji. Bentuk pelaksanaan Harakiri ini adalah dengan menggunakan pedang Samurai dan ditusukkan diperut atau jantung lalu dibelah kekanan dan kekiri serta mengeluarkan usus. Bunyinya ngeri namun begitulah bentuk ritualnya. Bagi mereka Kehormatan adalah segala-galanya daripada hidup dalam maruah yang dinodai.

Namun harakiri ini turut diamalkan sebagai tanda cinta akan tanah air, seperti mana tentera jepun yang sanggup membunuh diri apabila kalah perang. Pernah juga dalam pembaca menonton filem Pearl Harbour bagaimana tentera udara Jepun melanggar kapal tentera Amerika di perairan Pearl Harbour semata-mata ingin memastikan musuh tewas tatkala mereka juga turut tekorban sama. Semasa kekalahan Jepun pada Perang Dunia Kedua, banyak laporan menunjukkan ramai tentera Jepun yang melakukan Harakiri apabila mendapat tahu yang mereka tewas dalam Perang Dunia terbabit. Dalam pendirian mereka, lebih baik mati daripada melihat kekalahan didepan mata.

Bagi masyarakat Jepun Moden, kita dapat melihat bagaimana budaya Harakiri ini masih berlaku namun caranya berbeza, misal contoh apabila Negara Jepun mengalami masalah ekonomi maka Menteri Ekonomi mereka akan meletak jawatan secara terhormat sebagai tanda kegagalan dalam melaksanakan tugas. Seorang eksekutif syarikat akan meletak jawatan jika prestasi syarikat merundum. Dan, seseorang kakitangan kerajaan akan meletak jawatan sekiranya mereka pernah melakukan kesalahan seperti menerima rasuah atau sebagainya. Ini sebagai tanda yang mereka bertanggungjawab atas apa perkara yang berlaku.

Disebabkan itulah jika kita lihat realiti dunia Jepun hari ini, bagaimanakah keadaan mereka? Pencapaian ekonomi yang makmur, kemajuan teknologi dan inovasi yang cemerlang, tahap IQ yang tinggi dan budaya kerja yang cukup dikagumi. Kesemua ini adalah berpunca daripada sikap mereka yang mengutamakan kejayaan, kerana jika mereka gagal maka jatuhlah maruah dan airmuka mereka. Begitulah kesimpulan yang mudah untuk difahami. Sememangnya harakiri ini jika dilihat secara sudut pandang yang positif ianya merupakan suatu alat atau kaedah untuk memotivasikan individu agar berusaha keras untuk mencapai matlamat yang diingini. Ianya juga merupakan suatu tanda kepada tanggungjawab dan amanah yang dipikul oleh seseorang individu bagi mencapai matlamat yang diusahakan.

Tetapi konsep memotivasikan individu untuk berusaha keras ini bukan sahaja ada pada bangsa jepun malah terdapat juga kepada bangsa-bangsa lain seperti Yahudi dan Islam. Misal contoh, dalam kitab Talmud Yahudi ada menyatakan bahawa “Anak-Anak Yahudi yang miskin akan kelihatan telanjang didepan musuh-musuhnya”. Apakah mesejnya? Mesejnya adalah, sebagai sebuah saranan untuk orang-orang Yahudi mencari harta dan berjaya dalam segenap bidang yang diceburi mereka. Jika gagal maka ianya akan menjatuhkan maruah mereka yang beragama Yahudi sebagai Makhluk pilihan Tuhan.

Disebabkan itulah lahir dalam kalangan orang-orang Yahudi ini yang cemerlang dalam pelbagai bidang seperti Michel Dell (Dell Computers), Sergey Brin (Google), Steven Ballmer (Microsoft), Micheal Eisner (Walt Disney), Terry Semel (Yahoo,E-Bay). Dalam bidang sarjana pula seperti Albert Einstein, Thomas Khun, Emile Durkheim, Karl Marx dan Abraham Maslow.

Namun begitu, dalam agama islam turut mempunyai konsep motivasi sebagai memacu semangat umatnya untuk terus maju. Misal contoh konsep Jihad yang mana berusaha keras untuk mencapai keredhaan Allah. Namun begitu sayang sekali, umat islam sering meletakkan konsep Jihad ini dalam sudut yang sempit iaItu Jihad adalah perang. Sedangkan Jihad ini mencakupi bidang yang luas seperti Jihad Ekonomi, Jihad Pendidikan dan lain-lain. Disebabkan konsep Jihad inilah dalam sejarah pernah tercatat tamadun Islam menguasai 2/3 dunia serta pelopor kepada ilmu dunia.

Abdullah bin Rawahah sahabat nabi pernah melafazkan kata-kata iaitu berperang mencapai kemenangan atau mati dalam terhormat. Selain itu Tariq bin Ziyad pernah menyebut didepan kamu adalah musuh manakala dibelakang kamu adalah laut, mana satu anda pilih? Ayat-ayat ini adalah berfungsi untuk dorongan serta motivasi kepada tentera islam menentang musuh bagi mencapai kemenangan.

Persoalannya adakah kita cukup bermotivasi dengan ayat Al Quran yang menyebut " Kamu (Umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan kepada umat manusia, kerana kamu menyuruh berbuat baik dan melarang melakukan perkaar yang salah. (Al Imran, Ayat 110).

No comments:

Post a Comment