Friday 13 November 2015

Formula Bangsa Berjaya


Bangsa Melayu merupakan antara bangsa yang begitu mempercayai metafizik dan mementingkan sifat lemah-lembut, sopan-santun dan hormat-menghormati. Hal ini kerana orang-orang tua dahulu begitu mementingkan sifat luhur ini. Namun begitu, adakah dengan adanya sifat murni ini maka bangsa melayu pernah dinobatkan sebagai bangsa yang maju? Sebagaimana yang dikecapi oleh bangsa Jepun, Inggeris, Israel? Pernahkan dalam sejarah bangsa Melayu menunjangi dunia? Sebagaimana bangsa Jepun yang menguasai empayar Jepun di Asia Timur ketika Perang Dunia Kedua, bangsa Turki yang menguasai 2/3 dunia dalam sejarah Turki Uthmaniah, dan bangsa Inggeris yang pernah mengembara dan menjajah seluruh pelusuk dunia? Jawabnya adalah tidak pernah. Tiada satupun dalam lipatan sejarah yang mana bangsa Melayu pernah menguasai empayar yang luas, yang ada hanyalah setakat penguasaan di Asia Tenggara sahaja seperti kerajaan Melayu Melaka tidak seperti bangsa lain yang pernah menguasai separuh dunia.

Hari ini, setelah bangsa Melayu menelusuri sejarah yang panjang, pernah atau tidak bangsa Melayu teringin mahu menjadi bangsa yang berjaya dan dihormati? Jawabnya tidak, inilah masalah sebenarnya yang dirisaukan oleh golongan pemimpin dan cendekiawan melayu yang mana sehinggakan Tun Dr Mahathir mengkritik sikap orang melayu dalam bukunya Malay Dilemma suatu ketika dahulu sehinggakan mencetuskan kontroversi. Orang Melayu lebih gemar hidup selesa dalam bumi sendiri walhal hasil bumi dijarah orang. Sikap inilah yang akhirnya Za’ba menulis beberapa buah puisi menunjukkan kekesalan beliau terhadap sikap orang Melayu.

Sudah banyak sebenarnya dasar-dasar dan program ekonomi yang dijalankan oleh kerajaan bagi meningkatkan ekonomi Melayu, namun begitu adakah pembangunannya sepantas Negara Jepun? Sepertimana yang diketahui Jepun bangkit setelah buminya hangus oleh dibom oleh bom atom kurang daripada 50 tahun untuk berdiri sebagai negara penguasa ekonomi dunia hari ini. Mengapa Malaysia khususnya orang Melayu tidak boleh sepantas mereka?

Penyelesaiannya sebenar yang orang Melayu perlu lakukan adalah dengan mengubah mentaliti dan sikap yang sering menyekat kemajuan  mereka. Menurut Arnold Tonybee beliau pernah menyatakan bahawa kejayaan sesebuah peradaban bukanlah bermula daripada keturunan tetapi bermula dari sikap sesebuah bangsa yang berikhtiar bagi mencari potensi diri untuk menghadapi segala cabaran yang mendatang sehinggakan membuahkan hasil yang gemilang. Misal contoh, adakah orang Melayu sanggup bekerja lebih masa bagi meningkatkan rezeki hariannya? Adakah orang melayu sanggup menghabiskan harta semata-mata untuk memberikan peluang pendidikan terbaik kepada anak-anak mereka? Adakah golongan birokrat dan korporat Melayu sanggup menghabiskan harta untuk membantu bangsa sendiri agar turut berjaya seperti mereka. Seperti Donald Trump yang mendirikan Universiti Trump semata-mata bagi melahirkan ramai usahawan muda sehebat beliau. 

Nilai kesungguhan dan tidak kenal erti putus asa perlu ada dalam diri Bangsa Melayu sekiranya inginkan kehidupan yang lebih baik. Misal contoh sebagai seorang ahli politik melayu yang ingin mengembangkan karier politiknya dengan perlu menambahkan sebanyak mungkin ilmu pengetahuan yang bukan sahaja dalam ilmu politik malah dalam bidang ilmu agama, sastera, ekonomi, undang-undang, psikologi, kemahiran negosiasi dan kemahiran berpidato. Senang untuk dijadikan contoh, pernahkan anda melihat gaya pidato Presiden Amerika Syarikat, bagaimana gaya pengucapan yang beliau gayakan mampu memukau rakyatnya. Bermula dari bahasa badan sehingga kepada seni pertuturan kesemuanya menggunakan seni yang hebat.

Selain itu, orang-orang melayu perlu menggunakan seluruh kekuatan yang ada dalam diri orang Melayu iaitu sikap pemalu, pemurah dan tidak banyak cakap. Disebabkan sifat-sifat inilah orang Melayu digelar sebagai bangsa yang mempunya banyak rahsia dan identiti tersendiri yang disenangi oleh bangsa-bangsa lain. Artikel ini ditulis berikutan kajian yang dilakukan oleh penulis semasa mengikuti pengajian tahun 3 di Universiti Malaysia Sabah, penulis ditugaskan untuk membuat sebuah thesis berkaitan status ekonomi bumiputera hari ini.

No comments:

Post a Comment